Pasangan Tionghua teruja kahwin ikut adat Melayu

wj_021

30 Jan, Sungai Kapal - Tertarik dengan keunikan budaya dan adat Melayu, pasangan pengantin Tionghua di Kampung Sungai Kapal, Pengerang dekat sini melangsungkan majlis perkahwinan mereka mengikut adat dan budaya kaum Melayu.

Hong Lau Hock, 38, berkata, perancangan untuk menganjurkan majlis perkahwinan mengikut adat Melayu itu telah lama terpahat di hatinya. Menurut peniaga tersebut, keluarganya juga tidak membantah hasratnya untuk menganjurkan majlis perkahwinan mengikut adat Melayu.

“Keluarga faham impian saya dan mereka memberikan sokongan. Lagipun majlis ini bagi merai kawan-kawan yang berketurunan Melayu,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan itu di sini, semalam.

Katanya, galakan dan sokongan rakan-rakan Melayu banyak membantu merealisasikan perancangan tersebut. Lau Hock berharap majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Kapal itu dapat mengukuhkan semangat 1Malaysia di kalangan penduduk setempat.

Lau Hock dan pasangannya, Lim Soh Geok, 28, yang berpakaian songket berwarna coklat kemerahan turut diarak ke pelamin sebelum bergambar dengan kaum keluarga dan sahabat-handai.

Soh Geok yang berasal dari Kuala Lumpur melahirkan rasa teruja kerana dapat melangsungkan perkahwinan mengikut adat Melayu yang disifatkannya amat unik.

“Seronok sangat rasanya kerana dapat mencuba satu budaya yang baru. Saya akan ingat majlis ini hingga akhir hayat kerana ia sangat istimewa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Lepau, Idris Khalid, 63, berkata, majlis itu bersesuaian dengan semangat 1Malaysia yang ditunjukkan oleh pasangan tersebut.

“Saya difahamkan seminggu lalu mereka telah membuat majlis mengikut adat kaum Cina bagi merai sanak-saudara dan sahabat-handai.

“Kali ini majlis yang sama diadakan dengan mengikut adat Melayu untuk meraikan masyarakat di sini yang rata-ratanya orang Melayu,” katanya.

Seorang penduduk yang hadir, Mariam Kasmin, 62, berkata, dia berasa bangga apabila dijemput ke majlis persandingan pasangan pengantin tersebut.

“Belum pernah majlis seperti ini diadakan di kampung ini dan saya amat berbangga dengan kesudian dan kesediaan pasangan pengantin mengenakan pakaian mengikut adat orang Melayu,” katanya.

Share This Post

    rss RSS 2.0    commentgreen Response

Leave a Reply

 

Warning: gzinflate() [function.gzinflate]: data error in /home/parlimen/public_html/wp-content/themes/green/footer.php on line 1